Tuesday 6 December 2011

Aspura Anti Aspuri ~ Part 3

sekarang….

Mata Noni 3A bergenang tangis – merah. Kami berdua baru saja selesai ‘berbahas’ tentang Facebook. Aku menegurnya agar tidak berhubung dengan lelaki lain dalam laman sosial itu. Sebagai isteri, dia tidak boleh bergaul dengan lelaki yang tidak pernah dikenalinya.

Noni 3A menegaskan bahawa langsung tidak terdetik di hatinya untuk menjadikan kenalan-kenalan barunya itu sebagai calon suami. Sekadar mengisi masa lapang saja. Dengan menggunakan nama dan tanggungjawabku sebagai seorang suami, aku menegaskan bahawa aku tidak membenarkan Noni 3A berhubung dengan kenalan-kenalan barunya itu.

“Saya nak tahu dari mulut awak sendiri,” suara Noni 3A memecah kesepian dalam ruang tamu. “Mengapa awak mengahwini saya kalau awak tahu yang awak tidak mencintai saya?”

Aku diam. Cuba memikirkan jawapan yang sesuai untuk kulontarkan kepadanya. Agar selepas memberi jawapan tersebut, kami berdua tidak bertengkar lagi. Aku sendiri pun sudah bosan dengan kehidupan berperang mulut sebegini. Walhal, aku asalnya seorang yang tidak banyak mulut.

“Noni…”

“Jangan panggil saya Noni!” pintas Noni 3A.

Aku menahan sengih. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia kacau. Gelaran Noni 3A itu diberikan oleh kumpulan 4A dahulu kerana salah seorang ahli 4A tersalah dengar nama Nurri sebagai Noni. Semenjak itu, gelaran Noni lekat padanya.

“Maaf. Nurri, secara jujurnya saya sendiri tidak tahu mengapa saya mengahwini awak. Tapi saya yakin bahawa ini ketentuan ALLAH SWT untuk awak dan saya. Ketentuan bahawa awak menjadi isteri saya.

Jujur, saya tidak pernah mempersoalkan tentang jodoh kita berdua. Saya tahu ALLAH SWT telah memberikan yang terbaik buat saya. Saya harap awak tidak lagi mempersoalkan tentang jodoh yang ditetapkan ini. Banyakkan istighfar. Kita telah melakukan kemungkaran jika kuasa ALLAH SWT tidak kita yakini.

Larangan Mengingkari Takdir

Diriwayatkan dari Umamah r.a, ia berkata, "Rasulullah saw. bersabda, 'Tiga macam orang yang tidak akan menerima dari mereka tebusan ataupun taubat: Orang yang durhaka, yang suka mengungkit-ngungkit pemberian, dan mendustakan takdir'," (Hasan, Ibnu 'Ashim dalam as-Sunnah [323]).


Dan…” aku menarik nafas panjang. Mencari kekuatan untuk mengungkapkan – “… saya cuba sebaik mungkin untuk mencintai awak. Saya harapkan awak juga macam tu.”

Noni 3A mengesat mutiara kaca yang hampir tumpah di pipinya.

“Tapi sampai bila?” ujarnya separuh berbisik namun masih boleh kudengari. “Sampai bila kita nak hidup sebegini.”

“Penderitaan ini akan tamat setelah saya sepenuhnya mencintai awak dan dalam masa yang sama hanya saya seorang yang menjadi kekasih dalam hati awak – setelah ALLAH SWT dan pesuruhNYA Muhammad SAW.” Aku sendiri tidak menyangka bahawa aku boleh mereka sebuah ayat yang – pada pendapatku – romantis islami. “Banyakkan berdoa kepadaNYA agar disemaikan benih cinta kerana ALLAH dalam rumah tangga kita.”

Aku mendekatkan diri kepada Noni 3A. Kuambil tangannya dan kutekapkan di dadaku. Aku tidak tahu mengapa aku berani menyentuh tangannya sedangkan sebelum ini jarang sekali kami bersentuhan.

Aku dapat merasakan debaran Noni 3A ketika aku merapatkan wajahku ke wajahnya. Pipinya merona merah. Semakin lama wajah kami mendekat. Aku memejamkan mataku…

“Cukup!”

Serta-merta aku mendapati tubuhku tersandar di tepi almari. Hidungku terasa panas. Terdapat cecairan pekat sedang mengalir keluar dari dalamnya. Darah! Noni 3A menekup mulutnya. Aku tahu, dia tidak sengaja menumbuk batang hidungku.

“Addin!” Noni 3A meluru pantas ke arahku.

“Auchh!!!” aku mengaduh ketika dia menyentuh batang hidungku.

“Oh, maaf! Maaf! Saya tak sengaja!” kelam kabut dia jadinya.

Aku terus menyambar tangannya. Dia terkaku apabila mata kami saling bertentangan.

“Please…” gumamku perlahan. “Please get me the first aid.”

Tanpa banyak membantah, dia segera mendapatkan kotak kecemasan. Aku tertawa
sendirian sambil menahan pedih di hidung. Hmm… padan dengan muka aku sendiri!



No comments:

Post a Comment