Sunday 25 December 2011

Aspura Anti Aspuri ~ Part 4

Zaman persekolahan…

Semua pelajar telah meninggalkan bangunan akademik. Ketika berjalan bersama pelajar yang lain untuk ke asrama, aku tiba-tiba teringat buku Lelaki Soleh yang tertinggal di atas meja kelasku.

“Aku nak balik ke kelas kejap. Nak ambil barang tertinggal,” aku meminta izin kawan-kawanku untuk tidak menyertai mereka menuju ke asrama.

Sambil berlari-lari anak, aku masuk ke kelas 4 Umar al-Khatab. Buku berwarna kuning kesayanganku itu tergeletak kemas tanpa terusik sedikitpun kedudukannya ketika aku selesai membacanya tadi. Dengan senang hati, aku mengambil buku itu.

“Maaf, pelajar tak dibenarkan duduk di kelas antara pukul 2 petang hingga 3 petang. Ini peraturan sekolah,” seorang pengawas menegurku dari luar pintu kelas.

“Saya cuma nak ambil buku saya,” jelasku sambil menunjukkan buku tersebut.

“Mengapa tak ambil waktu prep saja?” tanya pengawas itu. “Maaflah, saya terpaksa ambil nama awak. Nama awak?” tanya pengawas itu sambil mengeluarkan buku catatannya.

“Tak bolehkah awak consider sikit? Lagipun saya bukannya mencuri!” Aku cuba mempertahankan diriku.

Pengawas itu mengangkat mukanya – serius. “Awak pelajar baru, kan?”

Aku mengangguk.

“Awak sepatutnya menjaga rekod pelajar baru awak agar tidak dilabel sebagai pelajar kurang berdisiplin. Saya dimaklumkan, pelajar pengambilan tingkatan empat telah diberi briefing tentang disiplin sekolah ini. Jangan disalahgunakan perkataan – ‘Saya budak baru dan saya tak tahu peraturan di sini!’ Sekali lagi, nama awak?”

“Muhammad Addin bin Mustaqim,” jawabku akur. “Kalau tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.”

Aku berjalan melintasi pengawas itu tanpa menoleh sedikitpun. Antara peraturan dalam kumpulan 4A – dilarang berbual tanpa sebab dengan pelajar perempuan dan dilarang memandang mereka dengan sengaja.

Tidak berapa lama aku meninggalkan kelas, aku terdengar bunyi sesuatu mengaduh kesakitan. Kutoleh ke belakang dan mendapati pengawas tadi sedang melutut di koridor kelasku sambil menekan perutnya. Dengan berasa tanggungjawab, aku berpatah semula ke kelas.

“Awak tak apa-apakah?”

“Awak pergi! Pergi!” tegas pengawas itu sambil cuba berdiri sementara tangannya masih menekan perut.

Dia terciritkah? Soalku dalam hati. Namun, tiba-tiba aku tahu apa yang menyebabkan dia kesakitan. Aku terlihat baju sekolahnya bahagian belakang berlumuran darah. Ya ALLAH, dia cedera! Serta-merta pengawas itu termelutut semula.

Tanpa berfikir panjang, aku terus mengangkat pengawas itu. Aku takut dia mati di depan mataku. Kulihat wajah pengawas itu pucat seperti mayat dan bawah matanya berwarna hitam seperti pontianak. Oleh itu, lebih baik aku menyelamatkan nyawanya.

“Eh, apa awak buat ni! Lepaskan saya! Lepaskan saya!” pengawas itu memukul-mukul dadaku.

Aku tidak mengendahkan pukulan itu. Tujuan aku sekarang hanyalah menyelamatkan pengawas itu dengan menghantarkannya ke bilik guru. Nanti dia boleh dibawa ke hospital.

Akhirnya aku sampai di bilik guru. Aku berasa lega kerana bilik tersebut masih penuh dengan guru-guru dan beberapa pelajar yang mungkin bertanya tentang pelajaran atau program. Pengawas itu terjerit-jerit ketika aku masuk ke bilik guru. Mungkin rohnya dah sampai halkum agaknya, pasal tu dia terjerit-jerit kesakitan – fikirku.

Keriuhan yang datang dari pengawas itu serta-merta mendapat perhatian semua orang dalam bilik guru. Seorang guru yang paling dekat dengan pintu meluru mendapatkan pengawas itu.

“Mengapa dengan dia?” tanya Cik Suwitah selepas aku menurunkan pengawas itu ke kerusi yang ditarik oleh cikgu tersebut. Lantas, aku menjarakkan diriku.

Kami berdua mulai dikerumuni oleh guru-guru sementara pengawas itu mulai menangis. Ramai yang terkejut melihat baju putihku berdarah – terkena darah ketika mengangkat pengawas itu. Bilik guru tersebut mulai riuh-rendah.

“Cikgu, bawa dia segera ke hospital! Dia cedera parah! Cepat cikgu, ini kecemasan!” ujarku.

“Mengapa dengan dia?” ulang Cik Suwitah.

“Dia cedera parah cikgu. Tadi, tiba-tiba dia melutut dan saya lihat dia berdarah!” jelasku lantas membuat esakan pengawas itu lebih kuat sambil menutup wajahnya.

“Di mana yang cedera parah?” tanya seorang guru yang lain – ketika itu aku belum kenal semua nama guru.

“Belakang dia!” jawabku pantas.

Beberapa orang guru kulihat sedang berbisik-bisik. Tiba-tiba wajah beberapa orang guru lelaki berubah seperti menahan tawa sementara guru-guru wanita menyuruh semua lelaki yang ada di situ termasuk aku untuk meninggalkan bilik guru.

Aku keluar bersama pelajar-pelajar lelaki yang turut berkumpul melihat kejadian itu. Seorang pelajar tingkatan lima menarik aku jauh dari bilik guru. Dia ketawa terbahak-bahak ketika menarik aku. Pelajar yang lain membuntuti langkah kami.

“Kau tahu tak darah apa yang melekat di baju kau ni?” tanyanya. “Dan kau tahu tak apa yang membuat pengawas itu berdarah?”

Aku menggeleng kepala.

“Pengawas tu sedang datang bulan. Dan ini darah bulanan perempuan! Hahaha…” pelajar tingkatan lima itu tertawa diikuti oleh pelajar yang lain.

Mataku terbeliak! Dan permusuhan telah tercetus disebabkan kebodohanku! Sungguh! Aku tak suka bermusuh! Dan sungguh! Aku tidak arif tentang perempuan!


Doa Ketika Ditimpa Sesuatu yang Tidak Disukai


Allah sudah menakdirkan (menentukan) sesuatu yang dikehendakinya.



Zaman sekarang…

“Hidung awak dah okey belum?” tanya Noni 3A ketika menghidangkan sarapan pagi untuk kami berdua. Wajahnya masih takut-takut.

“Saya lebih rela dapat sakit macam ni daripada sakit hilang ingatan,” ujarku selamba.

Noni 3A mengerutkan keningnya. “Awak ada penyakit hilang ingatan? Hmm… sekarang ni awak kenal saya tak?"

Aku tertawa kelucuan. “Saya hilang ingatan selepas bangun tidur saja. Tak lama lepas tu okey semula.”

“Tak pernah saya dengar penyakit macam tu. Awak ni kes pertamalah ya?”

Aku mengangkat bahu. “Entahlah. Agaknya kot.”

“Awak tak pernah berubatkah?” Noni 3A mulai bertanya seperti seorang polis menyoal siasat penjenayah.

“Dah banyak kali saya berubat. Bermacam-macam rawatan saya buat. Tapi ALLAH SWT belum mengizinkan saya untuk sembuh. Mungkin ada hikmah di sebalik penyakit ni yang saya belum ketahui,” ujarku panjang lebar.

Noni 3A mengangguk. Aku tak tahu untuk apa dia mengangguk. Sama ada dia faham atau pun ingin menandakan bahawa perbualan tamat setakat itu saja.

Selepas menghabiskan sarapan yang disediakan, aku mengambil kunci kereta yang tersimpan di dalam mangkuk kaca khas di atas meja. Noni 3A tergesa-gesa dari dapur menuju ke pintu utama.

“Addin!” panggilnya.

Aku menoleh, “Ya, mengapa?”

Sambil membetulkan tudungnya, dia melangkah menuju kereta.

“Petang ni boleh tak awak balik awal sikit? Saya nak beli barang,” ujarnya.

“Eh, bukankah dua hari lepas kita dah berbelanja barang dapur? Tak kan dah habis?” aku kebingungan.

“Bukan nak beli barang dapurlah,” dia mencebik. “Saya nak beli sedikit barang.”

“Hmm… yalah kalau macam tu. Jumpa awak petang ni. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Petang itu, seperti yang dirancangkan, kami bertolak ke pusat membeli barang yang dimaksudkan Noni 3A. Dalam perjalan, dia menjadi penunjuk arah sementara aku memandu mengikut arahannya. Aku memberhentikan kereta di hadapan semua pusat farmasi – Farmasi Syifa’ Muslim.

“Awak nak ikut tak?” tanyanya ketika aku mematikan enjin.

“Hmm… takpelah. Saya tunggu dalam kereta saja.”

Sememangnya aku keletihan ketika itu. Mana tidaknya, balik saja dari pejabat terus keluar semula untuk memandu Noni 3A. Radio Ikim kupasang, mendengar celoteh juruhebahnya dalam bahasa arab. Tidak lama kemudian, aku terlelap sehinggalah tingkap keretaku diketuk.

“Maaflah buat awak lama menunggu,” ujar Noni 3A selepas masuk ke dalam kereta.

“Awak beli apa?” Mataku melirik pada bungkusan yang dibawanya.

Noni 3A tersenyum. Wah, menawan sekali senyumannya! Jantungku berdegup kencang seperti genderang mahu perang – seperti lirik lagi Ingin Bercinta.

“Semua ni saya belikan untuk merawat penyakit ‘hilang ingatan selepas bangun tidur’ awak tu,” ujarnya sambil mengangkat bungkusan itu.

“Mengapa awak susah-susah nak belikan untuk saya?”

Noni 3A mencebik. “Pasal saya tak nak awak anggap saya sebagai orang asing ketika saya kejutkan awak. Sedih tau kalau ‘suami’ tak kenal ‘isteri’ walau sesaat.” Ketika mengungkapkan ayat terakhir, aku dapat melihat pipi Noni 3A bertukar merah.

“Hmm…” sambil memulakan pemanduan, aku menyambung perbualan kami. “Berapa yang awak bayar tadi. Biar saya bayar semula dengan awak.”

“Eh, tak perlu! Lagipun duit yang saya gunakan tu ialah duit lebihan belanja barang dapur hari tu. Saya cuma tambah sikit saja,” Noni 3A menolak selembut mungkin tawaranku tadi.

“Terima kasih, Nurri.” Dan mulai saat itu aku mulai memanggilnya dengan nama sebenarnya – Nurri yakni ‘cahayaku’. Syukur alhamdulillah aku dikurniakan isteri sepertinya. At least, she brights my life!


Hak atas Pasangan Suami Isteri
Sabda Rasulullah saw. di Haji Wada', "Ketahuilah, bahwa kalian mempunyai hak-hak atas wanita-wanita (isteri-isteri) kalian, dan sesungguhnya wanita-wanita (isteri-isteri) kalian mempunyai hak-hak atas kalian." (Diriwayatkan para pemilik Sunan dan At-Tirmidzi men-shahih-kan hadits ini).


Zaman persekolahan…

“SENYAP!”

Serentak, semua ahli 4A terdiam. Kebingitan yang melanda bilik studi tadi serta-merta padam ditiup kelantangan Abang Azlan – YDP (Yang di-Pertua) 4A.

Mata Abang Azlan meliar tajam merenung satu persatu anak buahnya. Matanya kemudian berhenti ke arahku. Aku mulai berasa tidak sedap perut. Matilah aku! Matilah aku! Hatiku bermonolog kerisauan.

“Kita kembali kepada topik perbincangan kita yang paling utama. Tinggalkan sebentar isu sampingan yang mencetus kontroversi baru-baru ni!” ujar Abang Azlan menunjukkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin.

“Isu kita sekarang ialah ‘Kemerosotan Aspura dalam Akademik’. Sekarang saya nak Hasif bacakan rekod pencapaian ujian bulanan dalam bulan ini,” sambung Abang Azlan lagi.

Hasif, selaku setiausaha 4A, bingkas berdiri.

“Assalamualaikum. Ini merupakan rekod ujian bulanan yang akan saya bacakan sebentar lagi. Saya akan bacakan tentang carta 10 Terbaik dan jantina pelajar tercorot dalam setiap tingkatan.

Tingkatan Satu, hanya empat orang aspura tersenarai sebagai Top 10 – namun keempat-empat mereka mendominasi carta satu hingga empat. Tahniah!”

Semua ahli bertepuk tangan, bangga.

“Namun, tiga orang dalam kalangan aspura juga menyandang gelaran sebagai tiga pelajar tercorot dalam ujian yang sama!” Hasif merenung wajah wakil Tingkatan Satu – Saufi.

“Kemudian, Tingkatan Dua pula hanya tiga orang yang tersenarai dalam Top 10. Dan itu pun bawah dari nombor empat!” tekan Hasif lantas membuat wajah Azlan semakin masam. “Apa yang menariknya dalam Tingkatan Dua ialah – tiada seorang pun aspura yang menjadi 20 puluh orang tercorot!”

“Hmm,” Hasif menggaru-garu dagu sambil melihat kertas laporannya. “Tingkatan Tiga – pelajar-pelajar yang bakal menduduki PMR! Mengapa hanya Afnan dan Haikal seorang saja yang tersenarai dalam Top 10? Nasib baik tempat pertama disandang oleh Afnan. Tetapi ini belum memuaskan kita. Jika bulan lepas sembilan orang menjadi Top 10, mengapa bulan ni merosot? Wakil tingkatan, sila ambil peranan! Jantina paling merosot saya tak nak sentuh kerana kita telah sedia maklum siapa yang selalu corot dalam tingkatan ini.”

Jantungku bedebar-debar ketika nama tingkatanku disebut.

“Tingkatan Empat.” Kesemua 15 ahli 4A serentak merenung ke arahku. Aku menelan air liur. “Tahniah, Top 10 semuanya dalam kalangan aspura. Malah, carta sebelas hingga 16 juga adalah aspura! Dan jantina yang corot ialah aspuri.”

Bilik studi Blok J yang menjadi markas perjumpaan 4A tiba-tiba riuh dengan sorakan dan ucapan kesyukuran. Ahli kumpulan yang duduk berdekatan dengan aku dan Fathi menepuk-nepuk bahu kami memandangkan kami berdua ialah wakil tingkatan empat.

“Seterusnya pelajar SPM – tingkatan saya dan YDP kita,” Hasif menunjuk ibu jarinya kepada Abang Azlan. “ Alhamdulillah, YDP kita yang tidak pernah lepas dari nombor satu masih mengekalkan mahkotanya. Seterusnya tiga orang lagi tersenarai dalam Top 10. Malangnya, pelajar corot ialah aspura.”

Beberapa orang ahli 4A berbisik-bisik sambil memandang sinis ke arah Hasif ketika dia mengungkapkan perkataan terakhir. Fathi menarikku agar dia dapat berbisik di telingaku.

“Pelajar corot Tingkatan Lima – Abang Hasif sendiri,” bisik Fathi perlahan yang mungkin.

“Sekian saja laporan dari saya. Kembali kepada YDP,” ujar Hasif lantas duduk di tempatnya. Aku perasan mukanya ketika itu merah – disebabkan malu.

Abang Azlan bangkit semula. “Terima kasih kepada Hasif. Jadi saya nak simpulkan bahawa tingkatan yang didominasi oleh aspura dalam bidang akademik, sila tingkatkan prestasi anda. Manakala tingkatan yang dicacati oleh kecorotan aspura, saya harap kita sedia membantu mereka dan sentiasa follow up perkembangan mereka.

Sekarang saya nak sentuh sekejap tentang isu yang tercetus baru-baru ini!” Abang Azlan berdiam seketika – seperti mengawal kocakan amarahnya. “Addin, sila berdiri.”

Aku berdiri perlahan-lahan – chuak dowh!

“Bacakan saya sepotong hadis yang kamu belajar minggu lepas.”

Aku terkedu! Apa motif Abang Azlan suruh aku membacakan hadis pula? Bukankah aku sepatutnya dimarah, diherdik?
Takutlah Godaan Dunia dan Godaan Wanita

Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya, daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Hendaklah kalian takut terhadapa (godaan) dunia dan takutlah kalian terhadap (godaan) wanita.”


Selesai sahaja membacakan hadis tersebut, aku dipanggil untuk berdiri di hadapan bersama-sama dengannya. Oh tuhan, apalah nasibku selepas ini!


Zaman sekarang…

“Ini tablet buah zaitun dan ini pula minyaknya,” ujar Nurri sambil menunjukkan bungkusan ubat dan sebotol minyak yang tertera logo farmasi.

“Khasiat buah zaitun ini ialah dapat mencegah penyakit pembuluh nadi, peningkatan tahap kolestrol, peningkatan tekanan darah, penyakit kencing manis, dan kegemukan. Malah ia juga dapat mencegah sebahagian daripada pelbagai jenis barah.


Hadis Kelebihan Buah Zaitun

Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, Makanlah buah zaitun dan minyakkan rambut dengannya kerana buah zaitun itu keluar dari pohon yang berkat. [Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi dan al-Tirmizi berkata ini hadis hasan]

Semoga darah di bahagian kotak memori awak dapat mengalir lancar dan minyak yang disapukan di atas kepala awak tu menyenangkan pemikiran awak,” jelas Nurri panjang lebar.

Kemudian dia mengeluarkan pula ubat-ubatan yang lain – saya rasa semuanya adalah ubat. “Ini pula ialah tablet habbatus sauda’, jus habbatus sauda’, dan minyak jintan hitam.”

“Apa beza habbatus sauda’ dengan jintan hitam?” aku mencelah penerangan Nurri.

“Kedua-duanya adalah sama. Yang membezakannya ialah habbatus sauda’ nama Arab, jintan hitan nama Melayu. Hehe…” Ketika itu, mahu saja kucubit pipi Nurri – sangat mencuitkan hati.

“Habbatus sauda’ ni pun ada kelebihannya. Berdasarkan kajian Pusat Penelitian Florida, habbatus sauda’ mampu meningkatkan dan menambah daya kekuatan dan daya tahan tubuh manusia bagi melindunginya daripada penyakit serta melawan kuman dan bahan kimia aktif,” Nurri berhenti seketika untuk merehatkan celotehnya.

“Kalau kita kaitkan dengan penyakit awak, khasiat habbatus sauda’ insyaALLAH boleh menguatkan daya ingatan awak.
Hadis Kelebihan Habbatus Sauda'

Ummul Mukminin Aisyah r.ha berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya habbatus sauda’ mengandungi ubat bagi semua jenis penyakit kecuali al-sam.” Aisya bertanya, “Apakah itu al-sam?” Dijawab oleh Baginda, yang bermaksud: “Al-sam adalah kematian.” [Muttafaq ‘alaih]

Berdasarkan hadis ini, Nabi junjungan besar kita Muhammad SAW telah memberi petua untuk merawat penyakit. Jadi, kita amalkanlah petua ini.”

Aku menghulurkan air kosong kepadanya. Selepas mengucap terima kasih, dia meneguk air itu tiga kali – mengikut sunah. Aku perhatikan saja tindak-tanduknya. Aku sendiri tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini aku terpikat dengan setiap tindakan Nurri. Mungkinkah aku telah jatuh cinta?

Oh, mustahil! Aku tetap ingat apa yang dilakukannya terhadapku sewaktu di sekolah dulu. Aku masih ingat! Dan sukar untuk aku lupakan. Kerana itulah, aku dan dia masih menggunakan ‘saya-awak’. Kami berdua belum serasi. Malah, aku belum pernah sekalipun ‘menyentuhnya’ sejak dua bulan perkahwinan kami.

“Di mana awak tahu semua ni?” tanyaku.

“Dari majalah Solusi isu 17. Dalam tu terkandung fakta yang mengatakan bahawa penduduk Palestin merupakan penduduk paling sihat di dunia. Faktornya ialah mereka mengamalkan cara pemakanan nabi,” syarah Nurri bersungguh-sungguh.

“Malah mereka berterima kasih kepada Israel kerana tembok yang dibina di sekeliling mereka menyebabkan mereka tidak terkena tempias ubat-ubatan barat yang ingin disalurkan kepada mereka. Pasal itu jugalah mereka masih dapat bertahan dengan bahan kimia fosforus. Subhanallah, menakjubkan, kan?” sambungnya lagi.

Aku mengangguk setuju sambil membalas senyumannya. Kemudian, Nurri meminta izin untuk menyiapkan baju yang ingin kupakai esok untuk ke pejabat. Walau keruh bagaimanapun perhubungan kami, namun dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Buat entah ke berapa kalinya, aku bersyukur kepada ALLAH SWT. Dalam hatiku tidak putus-putus berdoa agar cinta keranaNYA mekar dalam diri kami berdua.



2 comments:

  1. Nissan Altima AC Compressor
    Hey buddy that was a gud post
    lot of quality stuff and essential information

    ReplyDelete
    Replies
    1. hai Sheena..
      thank you 4 the comments...
      but it is just 4 fun...

      Delete