Tuesday, 6 December 2011

Aspura Anti Aspuri ~ Part 2

Zaman persekolahan
Tujuh tahun yang lalu, aku berjaya menjejakkan kaki ke sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Keputusan PMRku yang cemerlang melayakkan aku menjadi golongan pelajar SBP. Ibu bapaku berasa bangga kerana kesemua anak mereka berjaya memasuki SBP dan MRSM.

Dan aku lebih berasa bangga kerana akhirnya aku berjaya menebus kekecewaan kerana tidak memasuki SBP selepas UPSR dulu. Bukan aku tak layak, namun aku tidak mendapat sebarang tawaran. Berbeza dengan keempat-empat abangku yang lain, mereka menjadi pelajar SBP dan MRSM sejak tingkatan satu lagi.

Ketika aku memasuki SBPX (nama dirahsiakan), kelompok pertama yang menjumpaiku ialah kelompok pelajar lelaki yang anti dengan pelajar perempuan. Maaf, mereka bukan gay. Namun, mereka kurang menyenangi perangai kebanyakan perempuan di sekolah itu. Mereka menggelarkan kumpulan mereka 4A (Aspura Amat Anti-Aspuri).

Memandangkan ketika itu aku belum mempunyai ramai kenalan, secara automatiknya aku menjadi salah seorang daripada kumpulan 4A. Kebetulan, aku juga sememangnya tidak rapat dengan mana-mana perempuan. Apatah lagi dalam keluargaku tiada jantina itu melainkan ibuku.

Kumpulan 4A tertubuh apabila terdapat kumpulan yang hampir sama dengan 4A dalam kalangan aspuri. Merekalah yang memulakan dan mencetuskan kumpulan anti-menganti ini. Nama kumpulan mereka ialah 3A (Aspuri Anti-Aspura). Dan salah seorang daripada anggota 3A ialah Noni!

Asalnya aku dan Noni tidaklah bermusuh sangat. Namun, ada peristiwa yang sangat memalukan dirinya dan hampir menjatuhkan air mukaku telah berlaku beberapa bulan selepas aku masuk di sekolah itu. Semenjak itu, kami berdua menjadi musuh ketat. Tersangat ketat!

Namun, sungguh tidak kusangka Noni 3A kini menjadi milikku. Aku seakan percaya dan tidak percaya akan perkara ini. Ibuku, Hajah Rohayu, sudah maklum bahawa kesemua anak lelakinya tidak akan membantah kemahuannya. Begitulah cemerlangnya didikan ibu dan ayah yang membuat kami sentiasa patuh arahan mereka. Dan kerana kepatuhanku itulah yang menjodohkan aku dengan musuh ketatku itu.

“Ibu nampak kamu ni dah dewasa. Kewangan kamu pun sudah stabil,” ibuku memulakan mukadimahnya. “Jadi, ibu kepingin sangat nak melihat anak bongsu ibu ni membina rumah tangga seperti abang-abang kamu yang lain.”

Aku ketika itu sekadar mengukir senyuman. Aku sudah tahu maksud tujuan ibu memanggilku pulang ke kampung. Oleh itu, aku juga telah sedia memasang telinga untuk mendengar luahan ibu. Malah, aku juga membawa kejutan besar kepada ibu ketika itu.

“Ibu, sebelum ibu bercakap lebih lanjut, saya ada sesuatu nak tunjukkan dengan ibu.” Aku mengeluarkan sepucuk envelope besar dari beg bimbitku.

Ibu membukanya envelope itu dan membaca kandungannya dengan teliti. Wajah ibu berubah antara terharu dan gembira. Dia mengucup sijil kursus perkahwinan yang tertera namaku di atasnya.

“Kamu sengaja buat ibu terkejut. Bila kamu ikut kursus ni?”

Aku tertawa kecil. “Selepas ibu gesa Abang Chik kahwin dulu, saya cepat-cepat daftar borang untuk kursus perkahwinan. Nanti tidaklah tergopoh-gapah macam Abang Chik.”

“Kamu sudah ada calon?”

Aku menggeleng kepala. “Soal pasangan hidup saya, saya serahkan kepada ibu dan ayah. Sama seperti Abang Long, Abang Chik, dan Safuan – kecuali Abang Ngah. Saya tahu, ibu dan ayah mesti inginkan pasangan yang terbaik dan solehah untuk anak-anak, kan?”

Ibu mengucapkan kesyukuran kehadrat Ilahi. “InsyaALLAH minggu depan ibu akan beritahu gerangan bidadari buat kamu nanti. Bulan hadapan kita langsungkan majlis perkahwinan kamu tanpa pertunangan.”

Aku mengangguk tanda setuju. Walaupun sebenarnya aku berdebar dalam hati. Inilah pertama kalinya aku berasa berdebar kerana wanita. Dalam hatiku, aku berdoa.

" Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki. "

1 comment: